Pemimpin kanan parti politik, CEO ditahan kes projek Jana Wibawa
SEORANG pemimpin kanan sebuah parti politik dan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat ditahan berhubung kes projek Jana Wibawa.
Menurut Berita Harian, mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, malam ini.
Kedua-duanya dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi esok untuk proses pendakwaan.
Akhbar itu melaporkan, pemimpin kanan parti politik tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen, sebelum itu dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.
Dilaporkan CEO tersebut pula pernah ditahan reman sebelum ini berkaitan siasatan projek Jana Wibawa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.
Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.
Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan. – Malaysiapost