Penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM dibatalkan

Penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM dibatalkan

USAHA memastikan jenama Masscomm Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus diperkasa telah berhasil apabila Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini bersetuju dengan cadangan supaya Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, (FKPM) tidak bergabung dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Sains Informasi.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dalam satu mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM memaklumkan kementerian itu telah memutuskan supaya FKPM tidak digabungkan seperti diumumkan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor pada Oktober lalu.

“Kementerian telah memperhalusi cadangan dan maklum balas yang diterima daripada
pelbagai pihak sejak isu penggabungan ini dibawa ke perhatian saya dan merasakan ia
tidak harus dilengahkan lagi,” kata beliau.

Mesyuarat yang turut disertai Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Noor Azleen Ambros turut menegaskan bahawa jenama Masscomm yang telah sinonim dengan UiTM itu perlu diperkasakan lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Masscomm, Basree Rakijan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kementerian yang telah memberi reaksi positif terhadap bantahan yang disuarakan persatuan itu baru-baru ini.

“FKPM yang telah 50 tahun ditubuhkan merupakan satu fakulti yang telah memberi
sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini.

“Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenalpasti demi memastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan yang lebih berwibawa,” katanya. – Malaysiapost

Komen