Perarakan ala tentera Islam zaman silam tak wajar dikecam

Perarakan ala tentera Islam zaman silam tak wajar dikecam

ISU perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang mengenakan pakaian ala tentera Islam zaman silam di majlis perhimpunan tahunan itu, sewajarnya tidak dikecam termasuk atas alasan mengganggu ketenteraman awam.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Nasrudin Hassan, berpendapat hanya kerana pemakaian busana pahlawan dan pejuang Islam zaman silam, maka ia dijadikan isu dan sebaliknya jika pihak lain melakukannya.

“Gegak gempita dunia media sosial gara-gara perarakan Pemuda Pas Terengganu yang mengenakan pakaian ala tentera Islam zaman silam di majlis perhimpunan tahunan mereka, Himpit.

“Sebahagiannya mengecam dan mencemuh atas alasan mengganggu ketenteraman awam, mempamerkan elemen ganas dan eksterim.

“Menteri Agama pun tidak kalah lumba dengan netizen di media sosial apabila turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, keadaan itu memperlihatkan berlakunya satu ketakutan melampau terhadap Islam dan lebih malang terdapat sebahagian umat Islam sendiri yang paranoid terhadap peristiwa yang berlaku.

“Walhal Malaysia negara yang telah banyak menyajikan perarakan serupa saban tahun. Tidak timbul sebarang isu. Perarakan bersenjata sering kita lihat dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan, Hari Pahlawan dan majlis-majlis rasmi tertentu.

“Bahkan terdapat juga pertunjukan adu senjata menggunakan tombak, lembing, pedang dalam opera dan budaya serta agama kaum tertentu dalam negara. Termasuklah menggunakan kostum pahlawan silam yang lengkap bersenjata,” katanya.

Beliau turut memberi contoh ketika fenomena filem Mat Kilau yang membuatkan tampil pelbagai pihak mempamerkan busana melayu bersisip keris pusaka di pinggang.

“Tidak sahaja di dalam majlis rasmi, tetapi menjadi trend harian mereka yang bersemangat melayu. Ke pasar raya, kedai makan dan ke hulu hilir dengan keris tersisip, mereka bangga mengenakan busana pahlawan Melayu silam,” katanya.

Nasrudin berkata, sebaliknya apabila Pemuda Pas Terengganu dalam perarakan bertema, memperagakan busana pejuang-pejuang Islam zaman silam dengan replika senjata, tiba-tiba meletus ketakutan yang dijadikan modal menghentam PAS.

“Kalau pihak-pihak lain melakukannya, mungkin mereka akan memuji sebagai menarik, mempamerkan warisan pusaka yang perlu dikenang dan lain-lain.

“Kalau dah paranoid, memang sukar untuk dirawat. Selayaknya mereka melihat lambakan filem-filem aksi ganas sebagai lebih merbahaya dan membentuk minda ganas dalam masyarakat peniru,” katanya.

Beliau turut membandingkan dengan isu terbaru mengenai filem Pulau yang pada pendapatnya lebih mengganggu ketenteraman awam melalui aksi separa lucah.

“Saya harap Menteri Agama boleh membuat kecaman yang lebih berat justeru ia jelas bercanggah dengan syariat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semalam dilaporkan berkata, perarakan yang dianjurkan pemuda sebuah parti baru-baru ini boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada Islam.

Beliau berkata, perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam itu telah menimbulkan pelbagai persepsi dan tidak wajar diadakan kerana boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara. – Malaysiapost

Komen