Sarawak tuan rumah Sukma 2024
SARAWAK bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dan perkara itu disahkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam tadi.
Menurutnya, perkara itu diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu mesyuarat mengenai penganjurannya baru-baru ini.
Beliau berkata, Sarawak sememangnya sudah bersedia menjadi tuan rumah penganjuran Sukma pada bila-bila masa.
“Kerajaan Pusat telah minta Sarawak menjadi tuan rumah Sukma 2024. Dalam mesyuarat itu, kerajaan negeri diwakili Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Belia dan Sukan Sarawak),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Kali Ke-14 Sarawak 2023, malam tadi.
Awal bulan ini, Abang Johari dilaporkan berkata, Sarawak bersedia menggalas tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah untuk sukan dwi tahunan itu.
Beliau bagaimanapun meminta kerajaan memaklumkan lebih awal supaya pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan sedia ada dapat dilakukan.
Sementara itu, Yayasan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesaya ke-14 dengan memperoleh 12 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekali gus menyumbangkan sejumlah 95 mata. – Malaysiapost