Shahidan kemuka usul bahas isu keluar KWSP

Shahidan kemuka usul bahas isu keluar KWSP

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Usul itu dikemukakan Shahidan (PN-Arau) mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), bagi meminta Dewan Rakyat membahas dan menggesa kerajaan segera meluluskan pengeluaran KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

“Pencarum sudah semakin terdesak, tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup meningkat saban hari.

“Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang. Sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.

“Isu ini perlu segera dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Perdana Menteri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan tuntutan pelbagai pihak yang mahu kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP adalah selaras dengan Seksyen 54 Akta KWSP 1991, yang memberi kuasa kepada KWSP membenarkan pengeluaran caruman bagi tujuan pembiayaan kelangsungan hidup.

Menurutnya, pencarum amat memerlukan wang hasil titik peluh mereka berikutan sesi persekolahan tahun ini akan dibuka pertengahan tahun depan, selain akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Berdasarkan laporan KWSP pada Disember tahun lalu, terdapat peningkatan pencarum, majikan dan pencarum aktif. Ini bererti aliran tunai tak jadi masalah (buat KWSP),” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, membuat keputusan membenarkan Shahidan membaca usul tergempar itu di Dewan Rakyat walaupun ia ditolak.

Johari meminta Shahidan membawa semula usul berkenaan ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang dijadualkan bermula Isnin depan.

“Insya-Allah, sesi Bajet 2023 akan berlaku selepas 24 Februari. Saya harap Arau bawa isu ini sekali lagi untuk dibahaskan,” katanya. – Malaysiapost

Komen