Sidang Dewan Rakyat cemas seketika, Ahli Parlimen Gerik sesak nafas
AHLI Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengalami sesak nafas ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pada mulanya beliau berbahas dengan bersemangat sebelum tiba-tiba bertutur kurang lancar sambil cuba melonggarkan ikatan tali leher.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor sempat bertanyakan sama ada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu boleh meneruskan perbahasan atau tidak.
“Yang Berhormat okay ke?,” soal Ramli sebelum kedengaran ada wakil rakyat lain meminta doktor masuk ke dalam dewan.
Ketika tutur kata Fathul Huzir kedengaran semakin kurang jelas, Sim Tze Tzin (Bayan Baru – PH) dan Datuk Willie Anak Mongin (Puncak Borneo- GPS) mencelah meminta agar beliau diberi masa berehat.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Gerik itu sempat menghabiskan perbahasannya sebelum dibawa petugas kesihatan Parlimen ke klinik. – Malaysiapost