20 tahun sebagai pemain profesional, Safee Sali umum persaraan hari ini
BEKAS penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali hari ini mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 39 tahun.
Penyerang berjersi nombor 10 itu mengumumkan demikian dalam satu sidang media khas hari ini.
Sepanjang 20 tahun kariernya, Safee pernah beraksi bersama Kuala Lumpur, Sarawak, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) serta PKNS FC dalam saingan liga tempatan.
Beliau juga pernah berkelana ke Indonesia mewakili kelab Pelita Jaya.
Safee mengecapi pelbagai kejuaraan terutama bersama JDT termasuk memenangi Piala AFC pada 2015, selain kali terakhir membantu KL City FC menjulang Piala Malaysia 2021.
Bersama skuad kebangsaan, Safee meraih 76 kaps dan 23 gol dari 2006 hingga 2017.
Paling diingati tentunya jaringan menerusi tandukan padu ketika menentang Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Bukit Jalil, sebelum meledak dengan rembatan kaki kiri pada final kedua di Jakarta.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan terima kasih serta penghargaan buat Safee. – Malaysiapost