Agong kena ‘prank’ dengan lelaki rambut watak Naruto

Agong kena ‘prank’ dengan lelaki rambut watak Naruto

YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memang terkenal dengan gelaran raja berjiwa rakyat dan tidak kekok untuk bergaul apabila berada bersama rakyat jelata.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, gelagat Al Sultan Abdullah tertawa kerana terkena ‘prank’ seorang lelaki ternyata membuat ramai yang terhibur.

Video berdurasi satu minit 23 saat itu memaparkan Baginda sedang beramah mesra sambil memberikan sumbangan kepada orang ramai.

Baginda kemudiannya tertarik melihat seorang lelaki dengan rambut berwarna sebelum bergurau senda dengannya.

“Ini untuk awak. Color rambut balik,” titah Baginda sambil menghulurkan sekeping sampul.

Lelaki dengan rambut berwarna itu kemudian tampil ke hadapan untuk merakam ‘selfie’ bersama Baginda sebelum menjawab pertanyaan Al Sultan Abdullah bahawa rambut berwarna itu sebenarnya adalah topi.

“Rambut betul ke ni? Topi! Saya kena tipu la. Bagi duit untuk potong rambut… Allahuakhbar. Cuba cabut tu,” Baginda bertitah sambil meletakkan tangan di dahinya dan ketawa.

Tercuit hati dengan perkara itu, Baginda berkenan mengajak lelaki tersebut bergambar kali kedua dan memintanya untuk membuka topi yang disangkakan rambut sebenarnya itu.

Orang ramai di sekitar kawasan itu turut terhibur dengan aksi Baginda yang di ‘prank’ secara tidak sengaja oleh lelaki yang bertopi ala watak anime Naruto.

Difahamkan, video tersebut dirakam ketika lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Pulau Tioman selama dua hari baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen