Akan ada lagi pemimpin PN bakal dituduh menjelang PRN, dakwa Tuan Ibrahim

Akan ada lagi pemimpin PN bakal dituduh menjelang PRN, dakwa Tuan Ibrahim

LEBIH ramai pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) dijangka akan dikaitkan dengan pendakwaan terpilih,” kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai sesuatu isu yang mendahului jawatankuasa penyiasatan, lantas membina satu persepsi negatif kepada PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Ya (jangka ramai pemimpin PN akan terpalit pendakwaan terpilih). Saya tengok ia lebih bersifat pendakwaan terpilih. Ini persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan kenapa kita boleh buat dan sebagainya.

“Bahkan kes PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) sudah settled (selesai) semua, sudah bincang satu persatu tetapi persepsi terus dibina atas benda macam itu.

“Sepatutnya bila sudah teratur, PAC sendiri pun kita (Parlimen) telah tubuhkan, kita beri mandat sepatutnya…Kita hargai keputusan PAC.

“Jadi apabila Perdana Penteri, dia tak boleh buat spekulasi awal kerana kita kena serahkan kepada jawatankuasa penyiasatan.

“Bila perdana menteri buat persepsi awal, itu yang menimbulkan gelombang yang tidak betul. Kalau ada kes, kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya di luar Parlimen, hari ini.

Hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Manakala, Adam Radlan Adam Muhammad, yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah rasuah berkait projek yang sama. – Malaysiapost

Komen