Anak Raja Petra tawar diri tanding Exco Puteri Umno
ANAK kepada penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Puteri Umno pada pemilihan parti itu.
Menganggap sayap Umno itu memerlukan kepimpinan yang kukuh bagi menghadapi cabaran mendatang, Raja Sara Petra berkata dia mahu memastikan parti itu kekal relevan.
Ketua Puteri Umno Batu itu mendakwa rakyat akan menjadi resah dalam tempoh beberapa bulan mendatang dan mungkin kerajaan yang ada singkat hayatnya, kecuali mereka diyakinkan bahawa Umno mempunyai pemimpin yang kuat untuk menyelesaikan masalah.
“Oleh demikian, Puteri Umno boleh dijadikan kuasa yang perlu diperhitungkan dan menyokong parti untuk terus kekal relevan dengan politik Malaysia.
“Ini akan menjadi tugas dan komitmen sekiranya terpilih menjadi exco Puteri Umno,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum ini, Raja Sara menganggotai parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebelum meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Sayap Wanita parti itu pada 2019.
Menurutnya, prestasi Umno pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan parti itu perlu berubah untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
“Umno telah mengharungi banyak badai dalam beberapa dekad kebelakangan ini, tetapi yang terbaru dan paling teruk adalah tahun lalu.
“Ia memerlukan lebih daripada sekadar kepercayaan untuk Umno bangkit semula. Parti itu memerlukan kepimpinan yang kuat,” katanya lagi. – Malaysiapost