Barangan replika, kostum perarakan HIMPIT 2023 diserah kepada polis
BARANGAN replika dan kostum berkait perarakan pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 di Setiu, Terengganu, Jumaat lalu, telah diserahkan kepada polis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, berkata perkara berkenaan dimaklumkan menerusi kemas kini oleh Ketua Pemuda PAS Marang, Yusof Abdul Hadi.
Beliau berkata, barangan replika dan kostum terbabit diperbuat daripada kayu dan plastik Polyvinyl Chloride (PVC).
“Update (makluman kemas kini) terkini daripada Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Yusof Abdul Hadi, Pemuda memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan mengucapkan terima kasih atas layanan baik yang diberikan oleh pihak polis. Juga ucapan terima kasih diberi kepada semua yang menyokong mereka.
“Pemuda kekal tenang. Cuma, mereka menzahirkan perasaan amat sedih apabila ia dipolemikkan menjadi satu ketakutan dan kegusaran oleh umat Islam sendiri.
“Hanya kepada Allah kami berserah, perjuangan diteruskan,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.
Dalam hantaran itu juga beliau menzahirkan ucapan sekalung tahniah buat Pemuda berserta tanda pagar #HIMPIT2023.
Polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program HIMPIT 2023 bagi membantu siasatan berhubung perarakan membabitkan replika senjata di Setiu pada Jumaat lalu.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata mereka yang diambil keterangan itu meliputi ahli jawatankuasa program berkenaan.
Beliau memaklumkan, sebahagian lagi peserta HIMPIT 2023 juga akan dipanggil nanti.
Jumaat lalu, Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) dilapor menganjurkan program HIMPIT 2023 di daerah Setiu dengan dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, himpunan itu yang dikata diadakan DPPNT sebagai acara tahunan sejak 1991, mencetuskan polemik apabila peserta berarak sambil membawa replika senjata.
Namun, Ketua DPPNT, Mohd Harun Isa, dilapor menjelaskan bahawa peserta mengikut tema perarakan dan ia sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara. – Malaysiapost