Beberapa projek Jana Wibawa libat ahli keluarga pemimpin parti politik

Beberapa projek Jana Wibawa libat ahli keluarga pemimpin parti politik

BEBERAPA senarai Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan menerusi projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebanyak 56 projek mendapat SST dan keseluruhan projek tersebut bernilai RM6.3 billion.

Setakat ini katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.

“SPRM sudah menjalankan siasatan terhadap isu berkaitan tender rundingan terus.

“Antaranya projek di bawah Jana Wibawa yang mana ia membabitkan projek pembangunan dan infrastruktur,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah dan nilai projek yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.

Ia khususnya tender rundingan terus dan yang membabitkan ahli keluarga pemimpin utama serta tindakan diambil ke atas mereka yang mendapat ‘habuan’.

Sementara itu Azalina berkata, terdapat beberapa tambahan projek lain yang masih dalam tindakan siasatan SPRM.

Kelmarin, SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Semalam, SPRM dilapor menahan Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta seorang ahli perniagaan berhubung kes Jana Wibawa.

Kedua-dua mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini. – Malaysiapost

Komen