Duit masuk akaun Wan Saiful pun salah Presiden Umno?

Duit masuk akaun Wan Saiful pun salah Presiden Umno?

PEMUDA Umno membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Presiden Umno sebagai dalang menyebabkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dituduh di mahkamah hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mempersoalkan adakah salah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila wang RM6.9 juta dimasukkan ke akaun Wan Saiful.

“Fitnah dan tuduhan melampau! Memang wajar disaman.

“Apakah RM6.9 juta wang rasuah masuk dalam akaun syarikat Ketua Penerangan PN/Bersatu Wan Saiful Wan Jan itu juga adalah salah Presiden Umno?,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu Muhyiddin mendakwa kes mahkamah melibatkan pemimpin Bersatu didalangi oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Presiden Bersatu itu berkata, tindakan terbabit dipercayai antara usaha Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk melumpuhkan partinya setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dalam PRU15 lalu.

Pagi tadi, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut yang juga ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah rasuah berkait projek sama.

Sementara itu Asyraf Wajdi dalam hantaran berasingan menyindir Wan Saiful kerana telah tergolong dalam ‘kluster mahkamah’.

“Kalau ikut tanda aras ‘benchmark’ penyokong PN, Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor ini sudah masuk kluster mahkamah dan akan dilunyaikan dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Persepsi Awam (Court of Public Opinion).

“Namun sebagai orang Islam, kita harus berpegang kepada prinsip Islam iaitu “Al-Aslu Baraatu Zimmah”, seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

Komen