Gempa kedua di Turkiye: Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

Gempa kedua di Turkiye: Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia

TIADA ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi berskala 6.3 yang berlaku di Tenggara Turkiye, awal pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, kejadian pada jam 1.04 pagi itu dilaporkan dengan jarak 114 kilometer (km) dan kedalaman 58km.

“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” kata MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook, pagi ini.

Terdahulu, dua lagi gempa bumi kuat melanda Turkiye, terutama di bandar Antakya dan Adana, kira-kira dua minggu selepas gempa yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah berkenaan.

Menurut Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), salah satu gempa bumi itu berlaku sekitar jam 8.04 malam waktu tempatan di daerah Defne di Hatay, dengan magnitud 6.4 manakala satu lagi berlaku tiga minit kemudian, dengan pusat gempa di wilayah Samandag di Hatay, dengan magnitud 5.8.

Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (10.4 batu), manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km (4.3 batu). Kedua-duanya dirasai di kawasan sekitar.

Pada 6 Februari, gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud yang berpusat di Kahramanmaras melanda 10 wilayah lain telah menjejaskan lebih 13 juta orang.

Setakat ini sekurang-kurangnya 41,000 orang terbunuh akibat gempa bumi besar di Turkiye, manakala beribu-ribu yang lain cedera. – Malaysiapost

Komen