Ismail Sabri cadang TH kurangkan tempoh masa jemaah berada di tanah suci
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan supaya Tabung Haji (TH) mengkaji semula tempoh masa jemaah haji berada di tanah suci bagi menjimatkan kos.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, empat pakej tempoh masa menunaikan ibadat haji boleh
diperkenalkan iaitu 14, 21, 30 dan 40 hari.
Langkah itu, katanya, bukan sahaja menjimatkan kos tetapi dapat menarik minat lebih ramai untuk menunaikan Rukun Islam Kelima kerana tempoh masa yang singkat dan mungkin ada yang terikat dengan kerja dan perniagaan.
“Lembaga Tabung Haji telah menganggarkan peningkatan Kos haji daripada RM25,540 pada tahun 2022 kepada RM31,870 pada tahun ini.
“Antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi berikutan impak ekonomi global (seperti perang Russia-Ukraine), kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian dan banyak lagi.
“Dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40, tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,890 dan RM18,720.
“Tabung Haji terpaksa menanggung subsidi yang tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Ismail Sabri memohon kerajaan mempertimbangkan Akta Tabung Haji 1995 dikaji dan digubal semula untuk penambahbaikan kerana sudah terlalu lama dan tidak relevan.
Sebagai contoh katanya, tiada peruntukan untuk patuh Syariah dan tadbir urus baik diwartakan dalam Akta Tabung Haji sedia ada, walaupun TH sebagai asasnya perlu patuh Syariah.
“Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna.
“Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera telah ditambah baik, hanya Akta Tabung Haji belum.
“Cadangan bagi Akta Tabung Haji untuk dikaji dan ditambah baik telah dicadang pada pertengahan tahun 2021 oleh kerajaan dan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja juga ada menyarankan agar Akta Tabung Haji 1995 dikaji dan tambah baik.
“Justeru, saya memohon penjelasan daripada kerajaan apakah perkembangan terkini dan sasaran tarikh pelaksanaan cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995,” katanya. – Malaysiapost