Kastam Pahang rampas rokok seludup RM1.5 juta
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 2 juta batang rokok putih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta pada 12 Februari lalu.
Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, hasil maklumat daripada orang awam pihaknya berjaya mengesan kenderaan jenis motolori di parkir Stesen Minyak, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu, dekat Jerteh, Terengganu.

Katanya, motolori itu dipercayai dalam perjalanan ke Pantai Timur.
“Semasa pemeriksaan, motolori itu sudah ditinggalkan di perkarangan stesen minyak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan rokok yang disyaki barang larangan import,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di Kuantan, hari ini.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,551,000.00 membabitkan rokok putih yang dianggarkan bernilai RM160,000.00 dengan jumlah cukai berjumlah RM1,336,000.00.
Motolori dan rokok yang dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut. -Malaysiapost