Lima Adun Umno Sabah umum keluar parti
LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta, hari ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi sidang media khas yang melibatkan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Sidang media khas itu dipengerusikan Dr Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Lima Adun berkenaan kemudiannya mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga Adun Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.
Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi). – Malaysiapost