Papagomo diarah bela diri tuduhan cederakan Syed Saddiq
PAPAGOMO atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris diarah membela diri oleh Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman empat tahun lalu.
Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas blogger Umno itu.
“Saya mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dipetik FMT, hari ini.
Papagomo yang juga bekas Exco Pemuda Umno itu dituduh mendatangkan kecederaan pada bahagian leher dan bahu bekas Menteri Belia dan Sukan itu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, Kajang pada jam 11.05 pagi, 16 Februari 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Noor Firdaus bagaimanapun, meminda satu lagi pertuduhan terhadap Papagomo daripada mengaibkan kehormatan kepada menghina.
Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu dituduh menyebut perkataan ‘kau bodoh’ terhadap presiden Muda di lokasi dan tarikh sama.
Noor Firdaus berkata, pendakwaan gagal membuktikan elemen tuduhan tetapi berjaya membuktikan kes prima kes di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.
Papagomo juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan pindaan menghina bekas menteri belia dan sukan itu.
“Walaupun perkataan digunakan itu mungkin kesat tetapi ia tidak mengaibkan kehormatan Syed Saddiq,” katanya.
Menurutnya, Papagomo didakwa mengikut Akta Kesalahan Kecil kerana tindakan itu mungkin menyebabkan keamanan terganggu.
Sekiranya didapati bersalah, Papagomo berdepan hukuman dengan RM100.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 22 hingga 23 Mei dan 12 hingga 13 Jun untuk tertuduh membela diri. – Malaysiapost