Penghakiman rayuan akhir Najib hanya hujahan sebelah pihak – Shafee
MAHKAMAH Persekutan didakwa gagal menimbangkan 94 alasan dalam penghakimannya ketika menolak rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu.
Perkara itu ditegaskan peguam bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding semakan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.
Muhammad Shafee berkata, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak diberi peluang menghujahkan 94 alasan rayuan dikemukakan Najib.
Ini sekali gus katanya, penghakiman rayuan akhir pada 23 Ogos tahun lalu dibuat hanya berdasarkan hujahan sebelah pihak.
Tambahnya, rayuan akhir Najib tidak pernah didengar panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menyebabkan ketidakadilan kepada anak guamnya.
“Hisyam tidak pernah menolak untuk berhujah namun beliau memerlukan masa, tetapi mahkamah tidak benarkan penangguhan. kemudian beliau mahu menarik diri tetapi mahkamah mengarahkannya kekal mewakili Najib.
“Apa yang didengar ketika itu hanya permohonan. Ada beberapa permohonan dan satu daripadanya ialah berhubung hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, itu sahaja.
“Sebaliknya mahkamah menjemput pendakwaan untuk berhujah dan ini satu kesilapan besar. Kesalahan pertama adalah apabila peguam tidak mengemukakan hujahan, yang kedua dengan meneruskan prosiding dan membuat keputusan berdasarkan hujahan pendakwaan sahaja,” katanya.
Muhammad Shafee menyatakan demikian dalam hujahan permohonan semakan kes SRC dalam usaha Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang diputuskan Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost