Pertuduhan dibuat untuk kerajaan alih perhatian – Wan Saiful
KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan pertuduhan dirinya di mahkamah hari ini sebagai taktik kerajaan perpaduan mengalih perhatian bagi menutup kegagalan mentadbir negara.
Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu berkata, dua pertuduhan yang dihadapinya itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.
“Apa yang berlaku ialah diwujudkan pertuduhan seperti ini untuk alih perhatian daripada kegagalan kerajaan ini, kegagalan untuk melahirkan idea-idea baru mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Apabila mereka gagal, ia cuba ditutup dengan mewujudkan kes yang sepatutnya tidak wujud.
“Tuduhan yang dikenakan kepada saya ini adalah satu tuduhan yang mana tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada media di lobi Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Saiful menjelaskan, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan menjaga kebajikan rakyat dan menangani masalah kenaikan harga barang berbanding melakukan pendakwaan terpilih terhadapnya.
“Agak kesal sebab keadaan sekarang adalah keadaan yang mana kita patut fokus kepada kebajikan rakyat, kepada situasi yang melanda rakyat, pada kos sara hidup barang-barang keperluan asas yang harganya naik melambung.
“Begitu juga dengan tuntutan untuk dikeluarkan KWSP secara bersasar yang hari-hari disuarakan oleh rakyat di pelbagai peringkat tapi wujud pulak dakwaan sedemikian,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Saiful berpuas hati dengan prosiding mahkamah hari ini dan menegaskan beliau akan membuktikan pertuduhan ke atasnya adalah tidak benar.
Terdahulu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Dua pertuduhan ke atas Wan Saiful, 48, dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. – Malaysiapost