Saya akan buat sehabis baik, sebagaimana kejayaan misi MH17 – Akmal

Saya akan buat sehabis baik, sebagaimana kejayaan misi MH17 – Akmal

EXCO kerajaan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno menegaskan beliau bukan seorang yang suka beretorik.

Ketua Pemuda Umno Jasin itu juga menegaskan beliau tiada sebarang janji ketika menawarkan diri bertanding jawatan tersebut, tetapi ada hasil kerja untuk dinilai.

“Saya tidak suka beretorik. Kerana saya insan yang serba kekurangan dan hanya mampu melakukan apa yang saya mampu lakukan.

“Saya tiada janji, tetapi ada bukti untuk dilihat dan dinilai bersama.

“Tetapi apa yang saya akan pastikan jika sesuatu tanggungjawab itu diberikan kepada saya, saya akan pastikan ia dilaksanakan dengan sehabis baik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau memberi contoh berhubung misi membawa keluar kotak hitam dan jasad mangsa nahas pesawat MH17 suatu ketika dulu yang turut disertainya.

“Ketika satu dunia tidak mampu untuk berunding dengan puak pemisah untuk dapatkan ‘black box’ dan jasad mangsa MH17.

“Kami berjaya melaksanakan misi itu. Moga roh mangsa MH17 ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah,” tulisnya.

Untuk rekod, Muhamad Akmal pernah menyertai misi mengendalikan mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 di Ukraine pada 2014 kerana berkebolehan bertutur dalam bahasa Rusia.

Semalam beliau mengesahkan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu, Mac ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat Umno petang semalam. – Malaysiapost

Komen