Sikap dendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir – Awang Hashim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan memiliki sikap pendendam lebih teruk berbanding bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang mendakwa ‘permainan’ Anwar sedang bermula.
Jelasnya, pendakwaan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan di mahkamah hari ini merupakan pendakwaan terpilih dilakukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
“Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.
“Bagi saya, kalau inilah permulaan, dia (Anwar) adalah Perdana Menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.
“Sifat balas dendam Perdana Menteri ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Wakil rakyat PAS itu mengulas pertuduhan terhadap Wan Saiful yang berdepan dua tuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa. – Malaysiapost