Skandal Jana Wibawa: 2 ahli perniagaan dihadap ke mahkamah esok

Skandal Jana Wibawa: 2 ahli perniagaan dihadap ke mahkamah esok

DUA ahli perniagaan akan didakwa ke mahkamah berhubung penyelewengan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), pagi esok.

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berkata, kedua-dua individu terbabit akan didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Johor Bahru, Johor.

SPRM turut memaklumkan, prosiding pertuduhan terhadap dua individu terbabit dijangka bermula jam 9 pagi esok, lapor Berita Harian, hari ini.

Difahamkan, individu yang didakwa di Johor Bahru, akan berdepan sekurang-kurangnya sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor yang memperoleh kerja-kerja pembinaan di bawah program Jana Wibawa.

Individu itu juga dikatakan meminta suapan 10 peratus membabitkan RM10 juta daripada nilai dua projek binaan yang diperoleh menerusi dua syarikat.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu.

Manakala, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa di mahkamah sama atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan Jana Wibawa. – Malaysiapost

Komen