SPRM nafi tawar RM10 juta babitkan Muhyiddin dalam kes rasuah
SURUHANJAYA Pencegah Rasuah (SPRM) sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat fitnah kononnya agensi itu menawarkan wang untuk mengaitkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin terbabit dalam skandal rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, tuduhan bahawa pihaknya telah menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membabitkan Muhyiddin dalam kes rasuah disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, tuduhan seperti dilakukan individu berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada SPRM
“Ini individu yang tidak bertanggungjawab dan SPRM akan ambil tindakan undang-undang terhadap beliau.
“Ia satu fitnah dan beliau adalah penipu,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas klip video berdurasi 44 saat yang tersebar di laman Twitter, memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Wan Saiful.
Lelaki terbabit mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Muhyiddin untuk menerima wang rasuah.
Terdahulu, Wan Saiful, 48, dan Adam Radlan, 42, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka oleh pihak pendakwaan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Malaysiapost