Tengku Zafrul sudah beri keterangan sebagai saksi kes Jana Wibawa

Tengku Zafrul sudah beri keterangan sebagai saksi kes Jana Wibawa

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana Jana Wibawa, semalam.

Tengku Zafrul dalam kenyataan di Facebook, berkata beliau akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) kepada SPRM lewat petang semalam.

“Saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan. Terima Kasih,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan program terbabit.

Sebelum ini, SPRM dalam kenyataan dilaporkan berkata suruhanjaya itu akan memanggil Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada ‘perbelanjaan’ yang tidak sepatutnya berlaku.

“Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian. – Malaysiapost

Komen