Turkiye bergegar lagi

Turkiye bergegar lagi

DUA lagi gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye, terutama di bandar Antakya dan Adana, kira-kira dua minggu selepas gempa yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah berkenaan.

Menurut Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), salah satu gempa bumi itu berlaku sekitar jam 8.04 malam waktu tempatan di daerah Defne di Hatay, dengan magnitud 6.4.

Manakala, satu lagi berlaku tiga minit kemudian, dengan pusat gempa di wilayah Samandag di Hatay, dengan magnitud 5.8, memetik laporan Andolu.

Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (10.4 batu), manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km (4.3 batu). Kedua-duanya dirasai di kawasan sekitar.

Gempa bumi dua minggu lalu, walaupun berpusat di Kahramanmaras, 100 kilometer atau lebih dari Hatay, menyebabkan kerosakan besar di Hatay.

Berikutan itu, AFAD mengeluarkan amaran menggesa rakyat mengelak kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko kenaikan paras laut, yang boleh mencecah sehingga 50 sentimeter (1.6 kaki).

Pada perkembangan sama, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay menyeru rakyat di wilayah itu supaya menjauhi bangunan yang rosak ketika pihak berkuasa mengimbas kawasan terjejas.

Turut dilaporkan beberapa bangunan telah runtuh selepas gempa bumi, yang turut dirasai di negara jiran Syria.

Pada 6 Februari, gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud yang berpusat di Kahramanmaras melanda 10 wilayah lain telah menjejaskan lebih 13 juta orang.

Setakat ini sekurang-kurangnya 41,000 orang terbunuh akibat gempa bumi besar di Turkiye, manakala beribu-ribu yang lain cedera. – Malaysiapost

Komen