10,074 belia ditahan positif dadah tahun lalu

10,074 belia ditahan positif dadah tahun lalu

SERAMAI 10,074 belia berusia antara 19 hingga 39 tahun didapati positif pelbagai jenis dadah pada tahun lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding seramai 8,935 beliau yang didapati positif pada tahun sebelumnya, melalui ujian saringan awal air kencing yang dijalankan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penahanan berkenaan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa memandang serius isu penyalahgunaan dan penagihan dadah serta giat melaksanakan pelbagai program bagi membendung masalah itu.

“Pelbagai pendekatan diambil kerajaan bagi mengurangkan permintaan dadah melalui program pendidikan pencegahan.

“AADK melaksanakan program pencegahan melalui model i-cegah, meliputi pelaksanaan aktiviti pendidikan pencegahan dengan pembabitan secara umum, selektif dan fokus yang menyasarkan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti untuk mendekati golongan muda,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai bilangan tangkapan penagih dadah dalam kalangan anak muda di seluruh negara pada 2021 dan 2022.

KDN diminta menyatakan perancangan untuk membendung masalah sosial ini daripada menular. – Malaysiapost

Komen