2 kakitangan PAIP direman buat tuntutan palsu

2 kakitangan PAIP direman buat tuntutan palsu

DUA kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini membabitkan Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti PAIP berusia 41 tahun dan seorang lagi suspek wanita berusia 42 bertugas sebagai Penolong Operasi Gred NE4 PAIP.

Masing-masing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pahang kira-kira jam 8 malam dan 8.30 malam tadi.

Mereka ditahan selepas disyaki berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Februari lalu.

Perintah tahanan reman empat hari sehingga 25 Februari ini dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Malaysiapost

Komen