361 projek naik taraf sekolah daif di Sarawak telah diluluskan.

361 projek naik taraf sekolah daif di Sarawak telah diluluskan.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara termasuk negeri Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, berkata bagi tempoh tahun 2016 sehingga 2022, sebanyak 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh Sarawak telah diluluskan.

Menurutnya, projek menaik taraf itu membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM2.157 bilion.

“Sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 216 projek telah siap sepenuhnya, 57 projek berada di peringkat pembinaan dan 88 projek di peringkat prabina,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta KPM menyatakan sejauh manakah pelaksanaan projek-projek baik pulih sekolah daif di Sarawak.

Sementara itu, beliau turut menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen sama mengenai status pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kpg Tebaang Daro, SK Kpg Pergau Matu dan SK Bawang Tian Matu di Parlimen Igan sehingga kini.

“Pembinaan tiga projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah di kawasan Igan yang melibatkan SK Kpg Tebaang Daro, SK Kpg Pergau dan SK Bawang Tian, di Mukah, ketiga-tiga projek telah dilaksanakan pelawaan tender.

“Namun begitu, berdasarkan kepada tawaran yang diterima, kesemua penender mengemukakan tawaran harga melebihi kos yang diluluskan.

“Sehubungan itu, Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak (LPPS) yang diberi kuasa telah memutuskan agar projek ini ditender semula,” katanya. – Malaysiapost

Komen