54.5% sekolah di Sabah daif, uzur
LEBIH separuh daripada 1,292 sekolah rendah dan menengah di Sabah dikenal pasti berada dalam keadaan daif dan uzur, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Menurutnya, perangkaan itu adalah berdasarkan rekod terbaharu Jabatan Pendidikan Sabah pada tahun lalu.
“Berdasarkan rekod JPNS pada 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di Sabah.
“Namun daripada bilangan sekolah itu sekurang-kurangnya 54.5 peratus disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya di Dewan Rakyat, malam tadi.
Ahli Parlimen Putatan itu mendedahkan perkara itu pada perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, secara terperinci sebanyak 414 sekolah disahkan Jabatan Pendidikan Sabah memiliki bangunan pada skala enam atau tidak selamat pada 2020.
Jelasnya, berdasarkan laporan Menteri Pendidikan pada masa itu, sebanyak 52 sekolah lagi mempunyai bangunan pada skala tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain isu struktur sekolah yang daif dan tidak selamat, beliau berkata, Sabah juga masih berdepan isu sekolah tumpang.
Katanya, sehingga tahun lalu, sebanyak 23 sekolah di Sabah terpaksa beroperasi dengan menumpang di sekolah lain. – Malaysiapost