6 negeri dijangka bubar DUN serentak Jun depan
ENAM negeri dijangka akan mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun depan.
Enam negeri terbabit adalah Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Perkara tersebut dinyatakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja yang bersidang dua hari ini.
“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun ini.
“Persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.
“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, insyaAllah,” katanya dalam hantaran itu.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyatakan bahawa pihaknya berharap dapat melaksanakan PRN di negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, secara serentak.
Menurut beliau, sekiranya harapan berkenaan dapat direalisasikan, ia akan dapat memudahkan urusan SPR terutama dari segi pengurusan termasuk melakukan penyelarasan serta persiapan awal. – Malaysiapost