Ahli Parlimen PN sertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye, Syria

Ahli Parlimen PN sertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye, Syria

AHLI-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menyertai bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi bermula 2 hingga 7 Mac ini.

Pengerusi PASRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata misi terbabit akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, diiringi Pengarah PASRelief, Mohd Yusni Mat Piah serta tujuh wakil rakyat PAS dan Bersatu.

“Ini adalah kumpulan yang kedua dihantar oleh Sekretariat Aid4Turkiye&Syria daripada empat misi setelah kumpulan yang pertama berlepas ke dua negara terbabit pada 22 Februari lalu.

“Misi yang ketiga dan keempat akan menyusul bermula 6 hingga 11 Mac ini manakala yang keempat dijadualkan pada 17 hingga 22 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi merangkap Pengerusi Sekretariat Aid4Turkiye&Syria berkata, badan tersebut dibentuk daripada gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menguruskan misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di dua negara berkenaan bawah naungan PASRelief.

Ujar beliau, penghantaran misi tersebut adalah dengan izin rasmi kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.

“Selain mereka yang turut serta dalam misi, jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen yang telah menghulur sumbangan wang untuk menjayakan misi ini dalam majlis di Bangunan Parlimen tengah hari tadi,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu; serta timbalannya merangkap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang atas tanda keprihatinan tersebut.

“Semoga ia akan meringankan sedikit beban penanggungan saudara kita di sana atas musibah bencana yang mereka lalui,” katanya. – Malaysiapost

Komen