Ahmad Zahid harap bakal Duta Malaysia dapat jalankan amanah negara

Ahmad Zahid harap bakal Duta Malaysia dapat jalankan amanah negara

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada bakal Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang akan memulakan tugasan di luar negara tidak lama lagi.

Beliau yang menerima kunjungan hormat bakal-bakal duta negara itu di Parlimen hari ini, turut berharap mereka dapat menjalankan tugas serta amanah yang diberikan dengan jayanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata wakil-wakil negara itu membawa imej negara di peringkat antarabangsa.

“Saya sempat bertukar-tukar pandangan berkenaan isu-isu di bawah seliaan Kementerian seperti pembasmian kadar kemiskinan dan pemerkasaan pendidikan luar bandar.

“Didoakan semoga semua yang hadir dapat menjalankan tugas serta amanah yang diberikan dengan jayanya demi mengangkat kepentingan serta imej negara di peringkat antarabangsa. Insya-Allah,” katanya di Facebook, hari ini.

Duta-duta berkenaan adalah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Amerika Syarikat), Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin (Republik Indonesia), Ruzaimi Mohamad (Kenya), Suzilah Mohd Sidek (Republik Czech) dan Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor Leste). – Malaysiapost

Komen