Akta Kebebasan Maklumat dibentang di Parlimen Oktober ini

Akta Kebebasan Maklumat dibentang di Parlimen Oktober ini

AKTA Kebebasan Maklumat dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat, Oktober depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, berkata penggubalan akta itu di peringkat Persekutuan tertangguh sejak dicadangkan pada 2018.

Menurutnya, ketika ini perbincangan dan pelaksanaan akta berkenaan sudah berada di peringkat akhir dan beberapa isu yang timbul sedang diperhalusi kerajaan.

Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) masih mengadakan libat urus dengan pelbagai agensi sebelum akta berkenaan dibawa kepada peringkat seterusnya.

“Sejak 2019 lagi, sebanyak 20 sesi libat urus dilakukan BHEUU dan ia masih dijalankan sehingga ke hari ini.

“Pada hari ini, BHEUU telah menganjurkan Program Libat Urus Inisiatif Ke Arah Kebebasan Maklumat Bersama Agensi Penguatkuasaan, Keselamatan dan Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, program libat urus itu sudah pastinya akan memberikan input tambahan mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan dengan kesesuaian perkongsian maklumat dan kesediaan ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Beliau berkata, segala keterbatasan dan kebaikan serta cabaran pelaksanaannya di Malaysia sedang dikaji selain mengenalpasti jika terdapat sebarang percanggahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 serta akta-akta lain.

“Selain itu kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Maklumat sebagai sebuah badan
pengawal bebas yang bertanggungjawab mengawal selia Akta Kebebasan Maklumat.

“Ia bagi mendengar rayuan dan memastikan pematuhan terhadap akta ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen