Awang diberi 3 hari mohon maaf pada Anwar
DATUK Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada bekas Timbalan Menteri, Datuk Awang Hashim berhubung kenyataannya yang menuduh Perdana Menteri itu berdendam lebih teruk daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut peguam Anwar dalam surat bertarikh hari ini, Awang dituntut menarik balik kenyataannya secara terbuka, memohon maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan fitnah itu lagi.
“Kami diarahkan oleh pelanggan kami untuk menuntut daripada anda seperti berikut: Menarik balik perkataan fitnah secara terbuka, serta-merta dan tanpa ragu-ragu serta menarik balik semua komen yang menyinggung perasaan dan memfitnah.
“Permohonan maaf tanpa syarat itu dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh kami sebagai penasihat undang-undang untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan peguam kami.
“Dan aku janji bertulis oleh anda untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen seperti dalam perkataan fitnah dalam artikel,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.
Melalui LOD berkenaan juga Anwar menuntut Ahli Parlimen Pendang itu memberikan kos pampasan substantif atas kerosakan reputasinya sebagai Perdana Menteri, serta semua kos perundangan yang timbul daripada perkara tersebut.
“Kami menunggu jawapan anda tanpa sebarang kelewatan. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap anda,” kata surat itu.
Semalam, Awang dilaporkan menuduh Anwar lebih berdendam daripada Dr Mahathir selepas salah seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah.
Wan Saiful merupakan ketua penerangan Bersatu dan dia meletakkan jawatan tersebut hari ini.
Dalam LOD sama, peguam Anwar berkata komen dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.
Katanya, kenyataan itu dibuat untuk memburukkan imej Anwar di mata orang ramai sama ada di dalam atau luar negara sehingga ia mendedahkan perdana menteri kepada kebencian dan penghinaan.
Menurut LOD tersebut Anwar tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan oleh agensi penguatkuasaan di negara ini, justeru tiada pendakwaan terpilih dibuat seperti yang dituduh Awang. – Malaysiapost