Dulu dikata nyanyuk, sekarang saya disuruh diam kerana hilang deposit – Tun M

Dulu dikata nyanyuk, sekarang saya disuruh diam kerana hilang deposit – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad hairan terdapat pihak yang didakwa bersungguh-sungguh mahu beliau tidak bersuara setiap kali bekas Perdana Menteri itu menegur mengenai perkembangan politik semasa.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata setiap kali menegur atau menyatakan kerisauan berkait perkembangan semasa, beliau disuruh berehat dan diam kerana tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hilang deposit.

“Saya agak hairan kenapa begitu beria-ia mahu saya tidak bersuara. Dulu dikata saya nyanyuk. Sekarang disuruh diam kerana hilang deposit.

“Bagi saya setiap kebenaran itu perlu dinyata walaupun yang mendengarnya hanya seorang. Jika tidak ada seorang pun yang mendengar, kebenaran tetap perlu dinyatakan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Mahathir berkata, suatu kebenaran bukan bergantung pada monopoli majoriti dan minoriti atau yang tidak hilang deposit.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, jika perkara tersebut menjadi ukuran maka kumpulan minoriti perlu diam dan menerima apa sahaja keputusan majoriti walaupun salah.

“Bagi saya, selagi ada nyawa, apa yang tidak betul akan terus saya suarakan walau pahit untuk didengar oleh kumpulan yang tidak hilang deposit,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Dr Mahathir kalah teruk dengan majoriti 13,518 undi di kerusi Parlimen Langkawi yang menyaksikan beliau hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi. – Malaysiapost

Komen