Guru dididik agar tidak pengaruhi fahaman politik murid
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) yakin guru-guru tidak akan mempengaruhi murid dari segi fahaman politik untuk cenderung menyokong parti-parti tertentu.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, menegaskan ia kerana guru-guru telah dididik dengan integriti dan bersikap objektif dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) termasuk mengenai topik politik dan pilihan raya.
“Persoalan tentang sama ada guru akan mempengaruhi pelajar untuk cenderung menyokong parti politik tertentu, jawapannya adalah tidak.
“KPM yakin dengan guru-guru. Tugas guru mengajar apa sahaja topik secara objektif termasuklah pilihan raya.
“Guru kita telah dididik dengan integriti dan bersikap objektif yang tidak mungkin mempengaruhi murid dari segi fahaman politik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu apakah langkah bagi memastikan guru tidak mempengaruhi minda pelajar dengan sentimen tertentu supaya cenderung undi parti tertentu sahaja.
Hui Ying berkata, terdapat juga kekhuatiran jika guru-guru tidak memainkan peranan masing-masing dalam mengajar mengenai pilihan raya.
“KPM telah menyediakan bahan sokongan untuk membantu guru mengajar topik berkenaan dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu Jeck Seng bertanyakan soalan mengenai tahap kesediaan KPM untuk memperkenalkan subjek pilihan raya atau memasukkan elemen Undi 18 dalam mata pelajaran di peringkat sekolah menengah.
Hui Ying memaklumkan topik pilihan raya telah dimasukkan secara khusus dalam mata pelajaran Sejarah dan elemen berkaitan pilihan raya dilaksanakan dalam pendidikan sivik serta aktiviti kurikulum.
Menurutnya, sebagai usaha membentuk karakter murid menjadi warga bertanggungjawab dan cintakan negara, bermula dari sekolah rendah murid telah diajar mengenai Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara.
“Ini termasuk latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema sejarah awal negara, kedaulatan negara dan kemakmuran negara
“Selaras dengan kematangan usia dan tahap pengetahuan, murid sekolah menengah didedahkan dengan lebih mendalam tentang politik melalui tema Sejarah Kita dan Dunia, Warisan Bangsa, Kedatangan Kuasa Asing, Pembinaan Negara serta Malaysia dan Masa Hadapan,” katanya.
Beliau berkata, ia adalah bertujuan supaya murid memahami kepentingan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.
“Bagi memupuk kesedaran politik melalui aktiviti kurikulum pula KPM menjalin kerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi melaksanakan pelbagai aktiviti petrotism melalui melalui Kelab Malaysiaku.
“KPM juga turut menyokong program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melalui Kelab Rukun Negara yang merangkumi pelbagai aktiviti berteraskan pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara,” katanya.
Hui Ying, berkata KPM berpandangan perlaksanaan kurikulum dan aktiviti kurikulum sedia ada membolehkan murid memperoleh pengetahuan, pemahaman serta penghayatan tentang politik dan Perlembagaan Persekutuan
“KPM yakin bahawa pengetahuan dan penghayatan tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian serta dapat mempersiapkan murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya. – Malaysiapost