‘Hantaran suami Tengku Maimun hanya komen ‘rakyat’ di Facebook’

‘Hantaran suami Tengku Maimun hanya komen ‘rakyat’ di Facebook’

HANTARAN komen oleh suami Ketua Hakim Negara menerusi Facebook mengenai Datuk Seri Najib Razak hanya bersifat peribadi berhubung senario politik negara yang membawa kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lima tahun lalu.

Menurut pendakwaan, komen dibuat Datuk Zamani Ibrahim itu menjadi asas kepada Najib dalam permohonannya pada rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd tahun lalu supaya Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan menarik diri.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, semalam berhujah Tengku Maimun mempunyai konflik kepentingan susulan suaminya, membuat hantaran yang mempunyai sentimen negatif terhadap bekas Presiden Umno itu di laman sosial Facebook, lima tahun lalu.

Katanya, kritikan teruk dibuat oleh Zamani terhadap Najib pada 2018 sebaik keputusan PRU14 diumumkan yang disifatkan seperti satu perayaan di Facebook.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram petang ini berhujah, hantaran itu tidak menunjukkan Zamani mempunyai permusuhan peribadi terhadap Najib.

“Ia adalah komen umum ‘rakyat’ di Facebook.

“Permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri ketika rayuan akhir tahun lalu berikutan dakwaan konflik kepentingan adalah percubaan terdesak di saat akhir untuk mengganggu prosiding rayuan.

“Ia satu kebetulan yang luar biasa apabila pemohon (Najib),hanya mendapat tahu mengenai hantaran Facebook itu beberapa jam sebelum prosiding rayuan akhir pada 23 Ogos tahun lalu.

“Sebenarnya, mereka tahu mengenainya tetapi mendapati ia tidak berbaloi untuk membuat permohonan menarik diri lebih awal. Permohonan saat-saat akhir ini adalah usaha terdesak untuk menangguhkan prosiding,” katanya.

Sithambaram berkata demikian dalam prosiding semakan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Dalam prosiding rayuan akhir tahun lalu itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib supaya Tengku Maimun yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Keputusan itu dicapai sebulat suara panel selepas mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah.

Sithambaram menegaskan bahawa penggantungan semata-mata kepada hubungan suami isteri untuk menganggap pandangan Zamani sebagai pandangan Tengku Maimun adalah tidak masuk akal dan tidak mencukupi untuk menimbulkan berat sebelah yang nyata, lebih-lebih lagi apabila pengaruh yang didakwa itu hanya berdasarkan hantaran lima tahun lalu.

Katanya, Najib gagal menunjukkan bahawa pandangan Tengku Maimun dalam prosiding rayuan akhir itu dipegaruhi oleh hantaran berkenaan.

Prosiding semakan di hadapan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli bersambung Isnin ini. – Malaysiapost

Komen