Kerajaan tiada hasrat mansuh, kaji semula akta SOSMA

Kerajaan tiada hasrat mansuh, kaji semula akta SOSMA

KERAJAAN berpandangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata SOSMA 2012 adalah undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik.

“Kerajaan berpandangan bahawa undang-undang keselamatan yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian ini termasuklah SOSMA 2012 masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menjawab secara bertulis kepada soalan P Prabakaran (PH-Batu) di Dewan Rakyat, semalam.

Prabakaran meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah kerajaan berhasrat memansuhkan atau mengkaji semula akta SOSMA iaitu penahanan terhadap individu tanpa bicara dan tanpa ikat jamin kerana ia telah melanggar hak asasi manusia.

Saifuddin bagaimanapun berkata, kementerian komited menambah baik undang-undang itu bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,.

“Namun ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.

“Dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap undang-undang itu, pihak kementerian mengadakan perbincangan dan bengkel dalaman untuk melihat cadangan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkepentingan termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, pakar akademik, komuniti dan sebagainya akan dilibatkan dalam sesi pengumpulan maklum balas terhadap cadangan penambahbaikan tersebut.

Sementara itu, beliau turut menjawab soalan sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula hukuman bagi sesuatu kesalahan sama yang melalui prosiding mahkamah pada waktu sama tetapi hukuman yang dijatuhkan berjalan berasingan.

“Berdasarkan kepada makluman dari agensi berkaitan, setakat ini tiada sebarang ketetapan dasar atau arahan yang diterima berhubung perkara ini.

“Oleh itu, tiada sebarang kajian atau hasrat untuk mengkaji semula hukuman bagi sesuatu kesalahan yang sama yang telah melalui prosiding mahkamah pada waktu yang sama tetapi hukuman yang dijatuhkan berjalan berasingan,” katanya.

Menurutnya, kajian secara menyeluruh hanya akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan perlu diterajui oleh Kementerian/agensi yang diberikan mandat dan kuasa berkaitan perkara ini. – Malaysiapost

Komen