Kuota haji mungkin ditambah

Kuota haji mungkin ditambah

KUOTA haji jemaah Malaysia tidak akan dikurangkan dan dijangka akan bertambah daripada jumlah diberikan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya di Arab Saudi, Putera Faisal Farhan.

Beliau berkata, kuota haji Malaysia sebanyak 31,600 jemaah bagi 1444H/2023M yang sudah dipersetujui Arab Saudi sebelum ini tidak akan dipotong.

“Saya menyampaikan penghargaan negara atas keutamaan dan layanan istimewa yang diberikan oleh Arab Saudi kepada Malaysia untuk urusan haji dan umrah.

“Insya-Allah kuota haji kepada Malaysia tidak akan dipotong dan kemungkinan besar akan ditambah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, dalam pertemuan sama kedua-dua negara bersetuju memuktamadkan rundingan bbagi menginstitusikan Majlis Koordinasi Malaysia-Arab Saudi (SMCC) yang akan menjadi platform utama kerjasama dua hala di masa hadapan.

Zambry berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mempertingkat lagi jumlah dagangan dua hala, yang akhir-akhir ini sudah pun menunjukkan peningkatan drastik.

“Sebagai koordinator untuk hubungan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia menyatakan komitmen untuk membantu merealisasikan Sidang Kemuncak yang akan dihoskan oleh Arab Saudi pada tahun ini bagi mengukuhkan lagi hubungan dua pertubuhan serantau ini,” katanya.

Katanya, pertukaran lawatan di antara Malaysia dan Arab Saudi pasca pandemik akan dipertingkat termasuk bagi mencari ruang dan peluang melalui Visi Arab Saudi 2030 yang menjadi agenda pembangunan sangat baik untuk diterokai bersama.

“Saya percaya pertemuan ini sudah membuka lembaran baru bagi hubungan kedua-dua negara. Arab Saudi kekal sebagai sahabat karib Malaysia dan Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk terus menerokai setiap peluang yang ada untuk membawa hubungan istimewa ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Pihak kerajaan Arab Saudi juga menyatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam waktu terdekat,” katanya. – Malaysiapost

Komen