Mata pelajaran Undi 18, isu penyeludupan rokok dan alkohol antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
ISU mengenai subjek pilihan raya di peringkat sekolah menengah dan isu penyeludupan produk tembakau serta produk beralkohol antara yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan berkenaan mengenai subjek pilihan raya di sekolah menengah akan ditanya oleh Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Beliau meminta Menteri Pendidikan menyatakan tahap kesediaan Kementerian untuk memperkenalkan subjek berkenaan atau memasukkan elemen Undi 18 dalam mata pelajaran di peringkat sekolah menengah seperti yang dituntut oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Soalan mengenai isu penyeludupan rokok dan arak pula ditanya oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta jawapan daripada pihak Menteri Kewangan.
Beliau meminta menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani penyeludupan yang mencecah 57 peratus produk tembakau rokok dan 33 peratus produk beralkohol.
Wan Saiful meminta dinyatakan anggaran kerugian hasil duti eksais, cukai jualan dan duti import akibat penyeludupan itu.
Sementara itu, Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan tindakan tegas berhubung kes penderaan kanak-kanak yang semakin serius di pusat jagaan kanak-kanak seluruh negara.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan status terkini program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan sebelum ini.
Turut bertanyakan soalan ialah Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sebab utama pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dengan mata wang asing seperti Dollar US, Singapura dan Rupiah Indonesia serta kesan ke atas ekonomi dan inflasi negara.
Selesai sesi soal jawab, menteri-menteri akan menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing. – Malaysiapost