Mohamad Shafiq minta maaf dakwa SPRM tawar RM10 juta kepada Wan Saiful.
Mohamad Shafiq minta maaf dakwa SPRM tawar RM10 juta kepada Wan Saiful.
PEMERHATI politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim membuat permemohonan maaf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan kononnya agensi berkenaan menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau menjelaskan tidak berniat menuduh mana-mana pihak termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan ‘terlepas cakap’ berhubung khabar angin di mahkamah mengenai dakwaan itu.
Menurutnya, ‘live’ di TikTok yang dibuatnya petang semalam adalah reaksi kepada fitnah jahat yang dibuat oleh ‘cyber troopers’ Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah menjadi hakim dalam mengesahkan Wan Saiful meminta dan menerima rasuah.
Mohamad Shafiq berkata, dalam video itu selepas di provokasi pada ruangan komen, beliau mengatakan “ada rumors” semasa di mahkamah yang mengatakan pihak SPRM menawar RM10 juta untuk Wan Saiful menukarkan kenyataan bagi menganiayai Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pihak wartawan telah menghubungi saya dan saya telah menjelaskan ia adalah perang mulut di media sosial dan saya turut menyatakan ia adalah ‘rumors’ dan saya akan mendapatkan kepastian dari Wan Saiful.
“Saya memohon maaf kepada pihak SPRM kerana provokasi politik yang mencetuskan perbalahan dan saya terlepas cakap berkaitan ‘rumors’ di mahkamah yang kononnya pihak SPRM menawarkan sejumlah wang RM10 juta untuk Wan Saiful mengubah kenyataannya,” katanya.
Beliau mendakwa, video berkenaan telah dipotong oleh ‘cyber troopers’ PH dan disebarkan seolah-olah beliau hanya menyebut SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful.
Media semalam melaporkan SPRM sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat fitnah kononnya agensi itu menawarkan wang untuk mengaitkan Muhyiddin terbabit dalam skandal rasuah.
Azam berkata, tuduhan bahawa pihaknya telah menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu untuk membabitkan Muhyiddin dalam kes rasuah disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, tuduhan seperti seperti dalam klip video berdurasi 44 saat yang tersebar di media sosial itu boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada SPRM
Terdahulu, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor Ahli Parlimen Tasek Gelugor, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, atas pertuduhan menerima RM6.9 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.
Beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM232 juta.
Wan Saiful yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dikenakan jaminan RM400,000 dan pasportnya ditahan oleh mahkamah serta diarah melapor diri di Pejabat SPRM dua bulan sekali. – Malaysiapost