PAS nak bantu Bersatu guna duit ‘sedekah’ yang mana?

PAS nak bantu Bersatu guna duit ‘sedekah’ yang mana?

KETUA Penerangan Umno Isham Jalil secara sinis mempersoalkan bagaimana Pas ingin membantu Bersatu dari segi dana bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, adakah parti itu akan memperoleh ‘sedekah’ daripada kontraktor projek kerajaan untuk diberikan kepada Bersatu.

“Dulu kata tak ada duit untuk selesaikan isu air. Sekarang kata banyak duit pula sampai boleh bagi kepada parti lain. Ini duit sedekah dari mana pula?

“Dan adakah kamu minta sedekah daripada kontraktor projek kerajaan untuk ‘sedekah’ kepada Bersatu untuk ‘sedekah’ pula kepada pengundi?

“Sebelum ini berapa banyak sedekah Bersatu beri kepada kamu? Dan berapa banyak daripada ‘sedekah’ berbentuk tunai kamu simpan sendiri? soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika punca sumber ‘sedekah-sedekah’ itu adalah dari projek-projek kerajaan, ia adalah daripada duit cukai rakyat atau duit pinjaman kerajaan.

“Duit ini tidak sepatutnya dan haram dimasukkan ke dalam akaun parti politik untuk diguna oleh pemimpin-pemimpin parti politik untuk mereka menang pilihan raya.

“Jika ada pemimpin kerajaan meminta, menerima atau mengguna duit ini untuk parti politik mereka semasa mereka berkuasa, itu adalah sama ada rasuah atau salah guna kuasa mengikut undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pas bersedia memberikan dana kepada Bersatu bagi untuk menghadapi PRN di enam negeri berikutan akaun rakan gabungannya itu telah dibekukan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tidak kira untuk apa pun, partinya akan sentiasa menyokong sekutunya dalam PN bagi mendepani PRN.

“Pas ini banyak duit. Kalau Bersatu tiada duit, maka kita beri mereka duit. Tetapi, tidak kiralah untuk apa-apa pun selepas ini, duit banyak sahaja yang akan diberikan oleh ahli-ahli Pas.

“Sebenarnya, Pas tidak perlukan satu jumlah yang besar pun. Macam saya sendiri bertanding pilihan raya, saya tidak keluar duit banyak, berapa ribu sahaja saya keluarkan.

“Selebihnya ahli-ahli PAS yang bayarkan. Jadi, kita mahu kata apa?” katanya.

Pada masa sama, Isham menitipkan pesanan buat pemimpin Bersatu supaya tidak ‘menegakkan benang yang basah’ berhubung tuduhan rasuah dihadapi pemimpin parti itu.

“Kepada Muhyiddin (Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin), Bersatu dan Pas, usah menegak benang basah. Jawab sahaja di mahkamah. Kamu sekarang sudah jadi kluster mahkamah. Hadaplah pengadilan,” katanya. – Malaysiapost

Komen