Polis buru individu menyamar TMJ

Polis buru individu menyamar TMJ

POLIS Johor kini sedang mengesan individu yang menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram dan meminta sejumlah bayaran daripada beberapa pihak kononnya untuk urusan perniagaan.

Timbalan Ketua Polis Johor M Kumar, berkata individu berkenaan menggunakan akaun bernama ‘HRHCROWNPRINCEOFJOHOR’, dipercayai untuk memperdaya mangsa.

Beliau berkata, pada jam 2.35 petang, semalam, pihaknya menerima laporan daripada media Istana Johor berkenaan satu tangkap layar akaun Instagram terbabit, yang memaparkan mesej suspek mengaku sebagai TMJ.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek menyamar sebagai TMJ dengan melakukan pengubahsuaian pada tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ, agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan baginda,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setakat ini dipercayai mesej berkenaan diedarkan kepada lapan syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan telah terpedaya, dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan suspek untuk mendapatkan projek yang ditawarkan.

Kumar berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Penyamaran), yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurutnya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu), yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.

“Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang telah menjadi mangsa, untuk melaporkannya kepada pihak polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan seterusnya mengenalpasti serta mengesan suspek yang terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai maklumat di media sosial sebelum menjalankan sebarang urusan,” katanya. – Malaysiapost

Komen