Saifuddin ucap selamat jalan kepada remaja ‘ajaib’
KANAK-KANAK warga Bangladesh yang ditemui dalam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari lalu telah selamat dihantar pulang ke negaranya, semalam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempat meluangkan masa menyantuni kanak-kanak bernama Md Ratul Islam Fahim itu sebelum dihantar pulang ke negaranya.
“Ingat lagi kanak-kanak dari Bangladesh yang dijumpai dalam kontena di Pelabuhan Klang?
“Nama kanak-kanak tersebut Md Ratul Islam Fahim, saya panggil Fahim sahaja.
“Kira-kira enam hari Fahim terperangkap dalam kontena yang berlepas dari pelabuhan di Bangladesh tanpa makanan dan minuman, satu keajaiban juga Fahim berjaya diselamatkan,” katanya di Instagram.
Saifuddin turut mendedahkan kanak-kanak itu telah diberikan rawatan dan penjagaan yang sewajarnya sebelum dihantar pulang ke pangkuan keluarganya di Bangladesh.
“Sesudah Fahim mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Dr Hartini dari Yayasan Chow Kit hubungi pejabat saya memohon untuk meletakkan Fahim dibawah jagaan dan pemerhatian Pusat Jagaan kelolaan Yayasan Chow Kit dan Kementerian Dalam Negeri memberi kebenaran.
“Langkah susulan adalah kementerian berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia bagi urusan urusan dokumentasi untuk proses penghantaran pulang Fahim.
“Alhamdulillah, hari ini Fahim dihantar pulang ke pangkuan keluarga. Terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia, TYT Md. Golam Sarwar (Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia), Dr Hartini dari Yayasan Chow Kit dan semua pihak membantu melancarkan urusan ini, selamat jalan Fahim,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak ini dijumpai berada dalam sebuah kontena dilaporkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.
MD Ratul, 16, berlepas ke Dhaka pada 7.45 malam tadi dengan ditemani wakil kedutaan Bangladesh di Malaysia untuk diserahkan semula kepada keluarganya. – Malaysiapost