‘Saya tak akan merayu’ – Hishammuddin
AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan tidak akan buat sebarang rayuan berhubung penggantungan keahlian Umno selama enam tahun.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak membuat rayuan dibuat kerana beliau tidak dimaklumkan sebab dirinya digantung keahlian parti itu.
“Saya tak akan merayu. Kerana saya tak tahu apa sebabnya saya digantung. Sampai hari ini kita tidak tahu apa sebabnya saya digantung… jadi nak rayu apa,” kata Hishammuddin dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok rasminya hari ini.
Hishammuddin turut memaklumkan bahawa keputusan penggantungan keahliannya dalam parti Umno bermula 27 Januari lalu tidak mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti.
Katanya, beliau tidak menerima apa-apa surat makluman daripada Lembaga Displin parti atau diminta menjawab secara bertulis berhubung perkara tersebut.
“Yang ketiga, buat apa kita nak buat rayuan kepada orang yang telah membuat keputusan untuk menggantung. Orang yang gantung kita, kita nak rayu kepada dia?
“Keempat, kalau kita rayu macam kita ni bersalah.
“Jadi hari ini saya minta restu dan izin daripada keluarga di Sembrong.. kita kata kalau saya nak rayu saya tak tergamak nak buat rayuan,” ujar beliau.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan belum menerima rayuan daripada mereka yang digantung, termasuk Hishammuddin dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Menurutnya, Umno sedia mempertimbangkan rayuan pemimpin dan ahlinya yang digantung baru-baru ini atas kesalahan melanggar disiplin parti.
Ahmad Zahid berkata rayuan itu akan diteliti Lembaga Disiplin parti sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada untuk menerima atau menolak rayuan itu.
27 Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada Umno kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Umno turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Hishammuddin; Maulizan; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. – Malaysiapost