Terpalit kes rasuah, Wan Saiful ingin letak jawatan Ketua Penerangan Bersatu
DATUK Wan Saiful Wan Jan berhasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan didakwa atas pertuduhan rasuah di mahkamah, semalam.
Beliau berkata, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Namun, Wan Saiful berkata, terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk membuat keputusan menerima atau menolak hasratnya meletak jawatan berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.
Beliau yang ditemui media di lobi Parlimen hari ini bagaimanapun berkata, kedudukannya sebagai Ahli MPT Bersatu masih kekal.
Semalam,Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta.
Wan Saiful, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.
Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022. – Malaysiapost