Tiada PRK DUN Batang Kali – SPR

Tiada PRK DUN Batang Kali – SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan tiada pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor dalam masa terdekat susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pihaknya menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka kerusi DUN Batang Kali selepas diisytiharkan kosong mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5), Speaker Dewan Negeri Selangor memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.

“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri N07 Batang Kali, Selangor akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan DUN Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar (Pejuang) gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan melebihi enam bulan iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.

Suee Lim berkata, pengisytiharan itu mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat. – Malaysiapost

Komen