Umno Subang bersoladiriti sokong Arman Azha

Umno Subang bersoladiriti sokong Arman Azha

UMNO Subang menyatakan soladiriti terhadap Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah berdasarkan beberapa laporan media yang mendakwa beliau bakal dipanggil Lembaga Displin Umno, esok.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Subang, Datuk Mohamad Razman Rahim, berkata juga wujud laporan mengenai Ketua Umno Subang itu dikaitkan dengan kesalahan politik serta tidak sealiran dengan kepimpinan Umno peringkat tertinggi.

Beliau berkata, pihaknya memohon agar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil perhatian berhubung perkara itu kerana terlalu awal bagi pihak tertentu membuat laporan terhadap seseorang calon kerana kempen pemilihan parti belum bermula.

Katanya, Dr Arman sebelum ini tidak pernah terpalit dengan isu kesetiaan terhadap parti dan merayu agar beliau meneruskan khidmat di Umno Subang, sekali gus diberi peluang menawarkan diri sebagai Ketua Pemimpin Umno.

“Kami sebagai kepimpinan di peringkat bahagian dan cawangan yang terlibat aktif di bahagian Subang, untuk makluman Presiden bahawa sepanjang YB Senator Dato Arman Azha menjadi ketua bahagian, kami dihantar sebagai jentera sokongan di setiap pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri bagi membantu calon-calon Barisan Nasional.

“Ketika Umno BN menjadi pembangkang sepanjang 22 bulan semenjak tahun 2018, Umno Subang di bawah pimpinan YB Senator Dato Arman Azha tidak pernah culas dalam usaha membantu Umno Pusat di dalam gerak kerja pilihanraya.

“Malah pada PRU15, walaupun Parlimen Subang bukanlah diletakkan sebagai parlimen sasaran untuk kita menang namun sebagai Timbalan Pengerusi BN Parlimen Subang beliau sentiasa menggesa kami agar bekerja bersungguh- sungguh setiap hari dan waktu memastikan setiap jentera pilihanraya di peringkat PM terus menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ketika pilihanraya umum yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Razman berkata, sebagai salah seorang pemimpin muda yang berpengalaman dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam perjuangan parti, pihaknya berharap Dr Arman Azha diberi peluang dan tunjuk ajar dalam usaha mengembalikan kegemilangan Umno.

Terdahulu, Armand Azha dilaporkan mengesahkan bahawa beliau dipanggil Lembaga Disiplin parti tersebut pada 23 Februari ini di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, satu sidang media akan dibuat sebaik sahaja beliau selesai dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui alasan kenapa dirujuk kepada Lembaga Disiplin Umno. – Malaysiapost

Komen