Zara Zya sedia bergelar isteri
PELAKON Zara Zya mengakui dia kini sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Malah, pelakon berusia 38 tahun itu turut memberi bayangan seolah-olah bakal menjadi seorang suri hati kepada seorang lelaki pada tahun ini.
“Ada lah. Ada (tentang berkahwin) tapi nanti lah (akan dedahkan). Bukan fasal (kahwin) saya sekarang dan nak menginjak usia 40 tahun atau apa.
“Perkahwinan ini perlu tanya diri kita sama ada dah bersedia atau belum. InsyaAllah saya dah bersedia untuk bergelar isteri tahun ini. Doa-doakanlah,” katanya dipetik portal Gempak.
Baru-baru ini, viral di media sosial foto seorang wanita menyarungkan sebentuk cincin ke jari pelakon Zara Zya.
Namun apabila ditanya siapakah lelaki yang berjaya menawan hatinya, Zara enggan mendedahkannya.
“Saya nak simpan dulu, tunggu masa yang sesuai,” katanya.
Bagaimanapun Zara mendedahkan lelaki bertuah yang akan memilikinya bukanlah pelawak Shuib.
Pelakon drama Risik Pada Hati itu menjelaskan, hubungannya dengan Shuib adalah atas dasar kerja dan pemasaran untuk perniagaan mereka. .
Bagaimanapun, Zara tetap mendoakan yang terbaik untuk Shuib jika benar jodohnya dengan ahli perniagaan, Watie Hanifiah.
“Saya rasa semua tahu bahawa saya dengan Shuib memang untuk marketing produk minuman pada waktu itu. Tapi masih ada yang tetap mendoakan (nak kami bersama).
“Apa-apa pun saya tetap mendoakan Shuib. Sudah tentu saya sebagai kawan mendoakan yang terbaik untuk dia.
“InsyaAllah semoga hubungannya dengan siapa pun yang menjadi pilihannya kekal hingga akhir hayat,” katanya. – Malaysiapost